PROJEK MyTC

Mengenai Projek MyTC

Projek Sistem Tempahan Fasiliti Kerajaan (MyTC) adalah inisiatif Kerajaan yang bertujuan membolehkan orang ramai menempah fasiliti kerajaan yang ditawarkan. Projek MyTC membolehkan penggunaan fasiliti sedia ada di Institut Latihan Awam dikongsi secara menyeluruh dan penggunaannya dapat dioptimakan oleh pelbagai pihak. Dalam masa yang sama, projek ini juga menawarkan kemudahan carian dan permohonan fasiliti yang ditawarkan oleh Institut Latihan Awam (ILA), Kementerian dan Agensi Kerajaan secara dalam talian. Projek ini dilaksanakan untuk memenuhi kehendak rakyat yang menginginkan perkhidmatan yang pantas dan meluas. Tidak lagi terhad kepada penjawat awam, MyTC kini dibuka kepada orang ramai untuk menikmati fasiliti yang ditawarkan oleh Institut Latihan Awam

Inisiatif ini diterajui oleh Jabatan Digital Negara dan Unit Perancang Ekonomi bersama rakan-rakan strategik iaitu Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan One Malaysia For Youth (iM4U). Pelaksanaan Projek MyTC adalah contoh terbaik kolaborasi strategik agensi-agensi Perkhidmatan Awam pelbagai Kementerian dan jabatan untuk merealisasikan projek ini. Ianya bukanlah terbina hasil usaha sebuah agensi sahaja, malah ia merupakan hasil kerjasama pelbagai agensi Perkhidmatan Awam yang berganding bahu dalam semangat yang sama iaitu mengangkat kepentingan rakyat sebagai keutamaan pentadbiran Kerajaan. Majlis soft launch fasa pertama Projek MyTC telah diadakan di Institut Penilaian Negara (INSPEN) pada 17 Disember 2012.

Portal MyTC

Portal MyTC adalah merupakan gerbang (gateway) elektronik yang memberi maklumat kursus dan fasiliti yang ditawarkan oleh Institut-institut Latihan Awam. Portal ini akan memudahkan penjawat awam, sektor swasta, badan berkanun, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam untuk mendapatkan maklumat dan membuat tempahan fasiliti dan kursus yang ditawarkan oleh Institut Latihan Awam. Portal ini juga menyediakan kemudahan pembayaran secara atas talian.